Menurutnya, matlamat untuk menjadi jutawan
sebelum mencapai umur 30 tahun berjaya dicapai setelah melalui pelbagai
kesukaran.
Menceritakan pengelamannya ketika bekerja
di Netmedia, sebuah syarikat Multimedia di Birmingham, selepas tamat pengajian
dalam bidang Reka Bentuk Multimedia di Universiti Staffordshire, United
Kingdom, Irfan tidak menyembunyikan fakta bahawa dia pernah gagal dalam
menjalankan perniagaan di internet secara sambilan.
Penglibatannya dalam perniagaan menerusi
internet bermula pada tahun 1999, dengan menawarkan perkhidmatan mereka bentuk
laman web, brosur, kulit buku dan sebagainya.
Banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah
dihabiskan untuk membangunkan perniagaan tersebut, tetapi hasilnya tidak
kelihatan
'Selama setahun saya menghadapi masalah
untuk mendapatkan pelanggan, menyebabkan perniagaan yang dijalankan menghadapi
kegagalan,' jelas Irfan berterus-terang.
Antara faktor yang dikenal pasti menjadi
penyebab kegagalan perniagaan yang dijalankan ialah kelemahan daripada aspek
promosi.
'Ketika itu, cara promosi yang dilakukan
tidak betul, cara pemilihan produk yang salah, dan sasaran pasaran yang tidak
tepat, telah menyebabkan perniagaan yang dijalankan menghadapi kegagalan,'
jelas Irfan sambil menceritakan pengalaman awalnya dalam menjalankan perniagaan
menerusi internet.
Kegagalan yang dialami menyebabkan Irfan
mula belajar tentang selok-belok perniagaan di internet. Hasil penelitiannya,
Irfan mendapati bahawa terdapat dua kelemahan utama yang menyebabkan dia gagal.
Pertama kaedah promosi yang tidak tepat,. Kedua tidak ada fokus.
'Ramai yang menganggap apabila kita ada
laman web dan ada produk, pelanggan akan dating. Namun hakikatnya, jika laman
web berkenaan tidak dipromosikan, maka tidak ada siapa yang tahu kewujudannya,'
jelas Irfan.
Minat yang mendalam terhadap perniagaan
menerusi internet telah mendorong Irfan mempelajari pelbagai perkara tentang
pemasaran menerusi internet. Antara kaedah pembelajaran yang digunakan termasuk
menghdiri beberapa kursus pendek, menceduk pelbagai tip menerusi internet,
serta menjadikan beberapa orang pakar dalam bidang pemasaran internet sebagai
contoh. Salah seorang tokoh pemasaran internet yang dijadikan contoh ialah
Corey Rudl.
Corey Rudl merupakan presidan dan Ketua
Pegawai Eksekutif Internet Marketing Centre, yang memberi pendedahan kepada
orang ramai tentang kaedah untuk menarik kumpulan sasaran kepada laman web yang
dibina dan cara untuk menukar aliran pengunjung laman web kepada jualan dan
profit.
Irfan menjelaskan, faktor minat, diikuti
usaha yang gigih adalah resipi kejayaannya. Pada masa yang sama, pengetahuan
tentang selok belok perniagaan yang dijalankan tidak patut diabaikan.
Berbekalkan ilmu dan pengelaman yang
dipelajarinya sebelum ini, Irfan telah menyusun semula perniagaannya, dengan
hanya bermodalkan kurang daripada RM500. Dalam percubaan yang kedua ini, Irfan
lebih bijak memilih kaedah promosi yang lebih sesuai dengan produk yang
diketengahkan. Misalnya, Irfan telah memberi tumpuan promosi kepada pasaran
Arab bagi menjual peta Malaysia, apabila mendapati produk tersebut mempunyaai
permintaan yang tinggi di sana.
Irfan akhirnya berjaya membawa
perniagaannya ke landasan yang betul, apabila pendapatannya menerusi perniagaan
tersebut meningkat berlipat berkali ganda daripada pendapatan yang diperolehi
daripada pekerjaan tetapnya. Hal ini telah mendorong Irfan menjadikan
perniagaan internet sebagai kerjaya sepenuh masa. Akhirnya, selepas tiga tahun
menjalankan perniagaan, Irfan telah berjaya memperoleh pendapatan bersih
sebanyak RM1 juta.
Walau bagaimanapun, Irfan tidak menafikan bahawa
permintaan daripada pengguna tempatan masih amat rendah, ekoran kurangnya
keyakinan masyarakat tempatan pembelian menerusi internet.
Ketika ini 90 peratus daripada pelanggannya
terdiri daripada pasaran Eropah dan Amerika Syarikat, sementara lebih kurang 10
peratus lagi datang dari negara-negara lain termasuk Malaysia.
'Masyarakat Malaysia masih menganggap
transaksi menerusi internet masih tidak selamat, menyebabkan mereka kurang
berminat untuk membeli menerusi internet,' jelas Irfan. Walau bagaimanapun
Irfan yakin keadaan tersebut akan berubah dalam tempoh dua atau tiga tahun
lagi.
Sehubungan itu, Irfan yakin individu yang
sudah memiliki perniagaan di internet hari ini akan mendapat manfaatnya kelak.
Bagi mereka yang ingin menceburi perniagaan
ini, Irfan mengingatkan mereka tidak perlu memulakan perniagaan dengan kos yang
tinggi. Irfan mendakwa banyak perniagaan menerusi internet mengalami kegagalan
kerana dimulakan perniagaan dengan kos yang besar.
'Kos sewa premis perniagaan melibatkan
perbelanjaan yang tinggi setiap bulan. Begitu juga kos pembelian produk yang
tinggi, sedangkan permintaan terhadap produk berkenaan masih belum dapat
dipastikan. Semua ini menyebabkan peniaga sering menghadapi masalah kekurangan
modal pusingan,' tegas Irfan.